SHAH ALAM: Jordan menjadi destinasi eksport terbaharu bagi syarikat di bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), La Fruta Food Industries Sdn. Bhd.
Produk keluaran La Fruta berjaya menembusi pasaran negara itu menerusi penghantaran pertama sebanyak satu kontena bernilai kira-kira RM400,000, yang terdiri daripada filling dan topping berasaskan buah-buahan tempatan.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, FAMA memainkan peranan penting dalam memperkenalkan syarikat berkenaan di peringkat awal selepas penyertaannya dalam pameran Fine Food Australia 2025 di Sydney, di bawah program anjuran FAMA.
“FAMA turut memberikan sumbangan melalui Insentif Penambahbaikan Pembungkusan dan Pelabelan Produk untuk Pasaran Eksport berjumlah RM25,000, bagi memperkukuh penjenamaan produk mereka di pasaran Kuwait dan Qatar,” katanya selepaa Majlis Flag-Off pengeksportan produk La Fruta ke pasaran Jordan telah di premis syarikat itu di Seksyen 31, Kota Kemuning di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang pasaran antarabangsa selain menarik penyertaan pengeluar buah-buahan tempatan seperti mangga, markisa, nangka, buah naga dan nenas.
“Ini kerana bekalan buah-buahan tempatan masih belum mencukupi bagi menampung permintaan luar negara yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, FAMA komited membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluas pasaran eksport serta meningkatkan nilai eksport negara, seiring kejayaan produk La Fruta yang kini telah menembusi lebih 12 pasaran antarabangsa.
Dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D), La Fruta kini sedang membangunkan produk baharu berasaskan buah-buahan tempatan seperti durian dan pisang berangan untuk pasaran eksport ke China dan Korea.
Hadir sama Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri. – UTUSAN






