PETALING JAYA: Kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh rantaian pemasaran hasil pertanian negara selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia bagi menjamin keterjaminan makanan serta membuka pasaran lebih stabil dan berdaya saing kepada petani, penternak dan usahawan agromakanan.
“Di Sabah khususnya, FAMA telah mengukuhkan jaringan logistik dengan mengoperasikan 16 buah kenderaan perdagangan, tiga Pusat Operasi utama di Tawau, Tenom dan Kota Kinabalu, serta tujuh bilik sejuk beku dan sebuah Hab Pengedaran.
“Sebanyak 29 Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) turut diwujudkan sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian sebelum dihantar ke pasaran. Langkah ini memastikan hasil segar seperti avocado, pomelo, pisang Sabah dan kelapa dapat dipasarkan secara lebih efisien ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain mekanisme pembelian hasil melalui urus niaga belian terus, Forward Agreement (FA) dan Ladang Kontrak, FAMA juga menggerakkan Program Jualan Agro MADANI (JAM) yang menawarkan harga barangan asas 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran biasa.
Arthur berkata, sehingga Ogos tahun ini, Sabah telah menganjurkan 40 siri JAM dengan penglibatan 629 usahawan dan nilai jualan hampir RM750,000.
“Di bawah RMK-13, dua program utama akan memacu pengukuhan rantaian pemasaran negara.
“Pertama, Program Pengukuhan Pengeluaran Agromakanan Malaysia (PPAM) yang menekankan peningkatan produktiviti, sokongan teknologi moden dan perluasan pasaran. Sebanyak RM112.2 juta diperuntukkan untuk projek ini, termasuk pembelian hasil pertanian, pengurusan logistik dan pembangunan infrastruktur penyimpanan.
“Kedua, Program Rangkaian Argo Makanan Nasional (RANTAI) dengan peruntukan RM28.98 juta. Program ini menekankan pembangunan Pusat Pengumpulan Ladang, jaringan strategik bekalan, agro kontrak, serta pengukuhan pembekalan lestari melalui kerjasama dengan pengeluar, pembekal dan penyedia perkhidmatan.
“Melalui langkah ini, keberkesanan pengurusan bekalan dapat ditingkatkan selain membuka lebih banyak peluang pasaran,” katanya.
Jelas Arthur, beliau optimis strategi ini mampu melonjakkan hasil pertanian tempatan bukan sahaja di pasaran domestik, malah ke peringkat Asean dan global. – UTUSAN






