KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan lebih RM58.6 juta bantuan pendidikan hasil dana zakat bagi membantu lebih 40,000 pelajar asnaf di semua peringkat daripada sekolah rendah hingga ke universiti sehingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im, MAIWP memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak asnaf memiliki peluang yang sama untuk berjaya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pelbagai inisiatif pendidikan MAIWP.
“Kita percaya hanya melalui pendidikan nasib keluarga asnaf dapat diubah. Dengan sokongan MAIWP, mereka bukan sahaja berpeluang menuntut ilmu, tetapi juga mampu membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan Madani MAIWP 2025 di sini hari ini.
Majlis tahunan itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar asnaf cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Mengulas majlis itu, Mohd. Na’im berkata, MAIWP menyalurkan RM1.64 juta disalurkan kepada 602 pelajar cemerlang akademik yang antaranya menerima insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i),
Katanya, MAIWP juga menyampaikan insentif Galakan Hafaz Al-Quran berjumlah RM1.69 juta pula diberikan kepada 620 pelajar sebagai usaha mendorong anak muda untuk mendekati al-Quran.
Selain itu, 870 mahasiswa asnaf turut menerima bantuan komputer riba bernilai RM2.85 juta bagi memudahkan urusan pengajian di institusi pengajian tinggi. – UTUSAN






