KUALA LUMPUR: Laporan terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penyalahgunaan dokumen palsu dalam proses kelulusan pemain bola sepak naturalisasi negara menimbulkan persoalan besar terhadap kelemahan sistem pengesahan dokumen oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, pendedahan itu amat memalukan negara dan menjejaskan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa apabila agensi penting seperti JPN didakwa membenarkan dokumen tidak sah diserahkan kepada badan bola sepak dunia itu.
“Persoalannya, mengapa JPN membenarkan dokumen palsu diserahkan kepada FIFA? Ini bukan kesilapan kecil, tetapi isu integriti yang menjejaskan maruah negara.
“Malaysia pernah berjaya menaturalisasikan pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi tanpa masalah sebelum ini. Jadi kenapa kali ini berlaku?” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, insiden itu mencerminkan kelemahan ketara dalam aspek tadbir urus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang perlu diperbaiki segera sebelum menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia mengurus hal ehwal kewarganegaraan dengan telus.
“There is a clear weakness in Kementerian Dalam Negeri (KDN) with regard to governance,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan perlu memperkukuh sistem kawalan dalaman serta mekanisme pengesahan dokumen bagi memastikan setiap proses kelulusan kewarganegaraan dibuat mengikut undang-undang dan bebas daripada sebarang manipulasi.
“Ini bukan sekadar isu teknikal tetapi soal integriti dan kepercayaan terhadap Malaysia. Setiap dasar dan perbelanjaan mesti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan kepada kroni,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tamparan besar apabila FIFA mendedahkan bukti penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Pendedahan itu dibuat menerusi laporan rasmi Notification of the Grounds of the Decision yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio.
Laporan tersebut turut menyatakan terdapat percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh FIFA dengan dokumen dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain berkenaan.
Antara kes yang mencuri perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, sedangkan sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut berlaku kepada Jon Irazabal, dengan dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
Susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi, FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.-UTUSAN






