KUALA LUMPUR: Tiada berkompromi dalam usaha membanteras kewujudan kartel di pelbagai peringkat yang boleh menggugat kelancaran pentadbiran serta pembangunan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan dengan memperkukuh langkah kawal selia dan penguatkuasaan bagi memastikan ekosistem pasaran kekal adil, telus dan berdaya saing.
“Langkah berterusan kerajaan adalah meningkatkan keberkesanan kawal selia bagi memperkukuh ekosistem persaingan, mencegah penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran dan mengurangkan ketirisan selaras dengan tatakelola baik di bawah Ekonomi Madani demi manfaat rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sejauh mana kewujudan kartel mempengaruhi urusan pentadbiran dan ekonomi negara serta langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang diambil oleh kerajaan bagi membanteras kegiatan tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha membanteras kartel dilaksanakan secara menyeluruh merentasi pelbagai kementerian dan agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Katanya, MyCC bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 bagi mengekang amalan monopoli dan kartel harga.
“Sejak mula beroperasi pada 1 Januari 2012, MyCC telah mengambil tindakan terhadap 270 syarikat dengan jumlah penalti kewangan keseluruhan sebanyak RM687.4 juta.
“Pada masa ini, MyCC sedang menyiasat 14 kes kartel bida melibatkan 563 syarikat serta satu kes kartel penetapan harga membabitkan 31 perusahaan yang disyaki terlibat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, MyCC turut menjalankan tujuh kajian pasaran dalam sektor strategik seperti pertanian, pengangkutan dan perkhidmatan bagi mengenal pasti isu persaingan serta mencadangkan dasar yang sesuai untuk memastikan pasaran kekal adil dan terbuka.
“Kerajaan Madani secara berterusan akan memastikan kewujudan kartel dapat dibanteras sepenuhnya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Badan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan penuh untuk menyiasat sebarang aduan berkaitan kartel sebagai bukti komitmen kerajaan membela kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN






