BALING: Ibu kepada anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, di sini ketika bertugas akan menggunakan pencen diterima untuk membiayai pengajian kembar arwah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Aniza Mohd Taib, 49, berkata, arwah anaknya, Muhamad Armin Abdullah juga banyak membantu adik kembarnya, Nur Aina Tasmin, 22, yang sebelum ini belajar di peringkat diploma.
“Alhamdulillah duit khairat kematian Armin dan pencen bulanannya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini saya akan guna untuk Aina.
“Ketika arwah Armin ada, dia yang banyak membantu keluarga mengeluarkan perbelanjaan harian dan menyara adik kembarnya belajar diploma,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Prihatin Perkeso di APM Baling, hari ini.
Penyerahan dilakukan oleh Pengarah Perkeso Kedah, Rak Boon Tan Rat dan turut dihadiri Pengarah APM Kedah, Lt. Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik.
Akhbar ini pada 20 Julai lalu melaporkan, Muhamad Armin, 22, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dia sedang menunggang motosikal untuk ke program Latihan Kecergasan APM bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK). Arwah menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian ketika dirawat di Hospital Baling.
Sementara itu, Mohd Bukhori berkata, semua anggota APM diminta mencarum dengan Perkeso untuk melindungi diri daripada sebarang musibah dan malapetaka.
“Anggota APM sentiasa terdedah dengan keadaan bahaya dan malapetaka luar jangka, jadi tindakan kita haruslah sentiasa berhati-hati dan beringat ketika bertugas, dan mereka perlu ada caruman Perkeso untuk perlindungan diri.
“Andai sesuatu perkara terjadi, pencarum akan dapat banyak faedah seperti faedah orang tanggungan yang akan dibayar seumur hidup, faedah hilang upaya sementara dan lain-lain yang semua ini dapat ringankan bebanan ditanggung pencarum atau keluarga,” katanya. – UTUSAN





