KOTA KINABALU: Rakan satu dorm dengan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir memberitahu dia pernah melihat kesan darah kering dalam diari remaja terbabit.
Saksi kanak-kanak ke-17 itu berkata, dia melihat kesan darah itu ketika diberi kebenaran oleh Zara Qairina untuk membaca diari berwarna hijau.
Kata saksi inkues ke-26 itu, dalam diari berkenaan, Zara Qairina ada membuat luahan terhadap salah seorang rakannya.
Menceritakan mengenai kejadian berlaku pada malam 15 Julai iaitu beberapa jam sebelum remaja terbabit ditemukan terlentang di aras bawah Blok Rabiatu Adawiyah, saksi itu memberitahu, dia ada melihat Zara Qairina duduk di atas lantai di hadapan loker pakaian.
Namun dia tidak mengetahui apa yang Zara Qairina lakukan ketika itu.
Saksi itu turut memberitahu meskipun dia mengenali Zara Qairina kerana duduk di dorm sama, dia tidak pernah melihat remaja terbabit mempunyai sebarang konflik dengan pelajar lain Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Katanya, malah dia juga tidak pernah melihat Zara Qairina menjerit, menangis ataupun dimarahi oleh sesiapa.
Berbanding keterangan seorang saksi kanak-kanak kelapan sebelum ini, Zara Qairina dilihat terganggu selepas disoal oleh beberapa pelajar senior pada malam kejadian dan terus baring di lantai dan menangis sebelum menjerit ‘aku nda curi bah, sial’.
Pada prosiding hari ini, saksi kanak-kanak tu memberitahu sekitar awal tahun ini, Zara Qairina pernah menunjukkan kepadanya bekas toreh di lengannya iaitu parut ‘barcode’ atau kod bar dibuat sendiri remaja terbabit ketika mereka berdua berada di tandas asrama di aras satu.
Bagaimanapun, saksi itu berkata, Zara Qairina tidak memberitahunya bila atau bagaimana ia membuat kod bar tersebut.
Saksi kanak-kanak ke-13 sebelum ini dalam keterangannya terdapat amalan membuat kod bar di asrama berkenaan, malah saksi itu sendiri terikut-ikut dengan trend tersebut.
Bagaimanapun, pegawai perubatan yang pertama memeriksa remaja terbabit ketika dibawa ke hospital, Dr Jenefer Voo, 32, dalam keterangannya menyatakan tidak melihat sebarang kecederaan berbentuk jalur selari seperti kod bar pada tubuh pelajar Tingkatan Satu itu ketika dirawat.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – UTUSAN




