KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-18 mengakui merupakan antara salah seorang penghuni dorm A3-5 yang membuat spot-check atau pemeriksaan ke atas loker pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu selepas terdapat aduan kehilangan barang.
Selain dirinya, ada tiga lagi penghuni dorm sama yang turut terlibat dalam pemeriksaan berkenaan selepas mendapat kebenaran daripada senior.
Saksi itu berkata, Zara Qairina disyaki berhubung kes kehilangan barang kerana pada petang hari sama dengan kad panggilan telah ditemukan di tempat remaja terbabit.
Katanya, dia membuat pemeriksaan pada loker Zara Qairina bersama seorang lagi rakan membuat terhadap pada beg dan seluar sukan milik remaja itu manakala seorang rakan mereka hanya memerhatikan.
Saksi berkata, rakan sebilik yang membuat pemeriksaan pada beg dan seluar sukan Zara Qairina telah menemukan dua pin bendera Malaysia yang mana salah satu daripadanya tertulis nama salah seorang penghuni dorm berkenaan.
Terdahulu, saksi memberitahu, sewaktu sedang membaca novel di atas katil, dia ada terdengar seseorang memanggil Zara Qairina dari dorm sebelah untuk datang ke dorm A3-6.
Dia bagaimanapun tidak mengetahui Zara Qairina berjumpa dengan siapa di dorm berkenaan kerana dia tidak pernah ke dorm tersebut pada malam tersebut.
Saksi kanak-kanak itu turut memberitahu, sebelum malam, 15 Julai lalu, dia tidak pernah melihat Zara Qairina dimarah sendirian atau diganggu pelajar lain.
Bagaimanapun, saksi memaklumkan bahawa seorang senior pernah menegur Zara Qairina agar lebih menghormati ibunya, Noraidah Lamat selepas senior terbabit melihat remaja terbabit menulis sesuatu di kertas.
Sementara itu, peguam Azhier Farhan Arisin ketika ditemui media memberitahu, senior terbabit pernah terbaca diari Zara Qairina menyebabkan remaja terbabit ditegur.
“Saksi tidak tahu apa yang ditulis tapi dia mendengar senior terbabit cakap ‘dia tu mama kau, dia yang lahirkan kau, jangan kau cakap begitu’ kepada Zara,” kata peguam itu.
Pada prosiding sebelum ini, salah satu helaian kertas yang didakwa ditulis oleh Zara Qairina dikemukakan ke Mahkamah Koroner dengan antaranya tertulis luahan perasaan marah dan tidak puas hati remaja terbabit terhadap ibunya.
Mahkamah Koroner pada hari ini turut ditunjukkan cara Zara Qairina mencederakan dirinya dengan membuat ‘barcode’ atau kod bar menggunakan pisau asah pensil.
Saksi memaklumkan bahawa dia mengetahui mengenai trend membuat kod bar dan malah pernah ternampak kesan parut di tangan beberapa orang pelajar lain semasa waktu persekolahan.
Ujarnya, ketika ditanya mengenai kesan paru berkenaan kepada pelajar lain, pelajar berkenaan mengatakan ‘cuma barcode ba ja ni’.
Sementara itu, seorang lagi saksi kanak-kanak mengesahkan pin bendera yang dikemukakan ke mahkamah pada hari ini adalah miliknya kerana terdapat namanya di belakang pin berkenaan.
Saksi kanak-kanak ke-19 tu yang merupakan rakan sekelas dan rakan satu dorm itu berkata dia kehilangan pin berkenaan pada awal Julai lalu.
Prosiding yang didengar Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – UTUSAN





