PETALING JAYA: Seramai 36,702 orang dipindahkan ke 318 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 12:00 tengah hari tadi.
Laporan terkini daripada Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan, bencana kini menjejaskan 40 daerah daripada sembilan negeri secara keseluruhan.
Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 10,724 mangsa daripada 3,111 keluarga yang kini berlindung di 118 PPS aktif.
Keadaan di daerah Kemaman amat membimbangkan dengan 2,497 mangsa, diikuti Marang (2,247 mangsa) dan Kuala Terengganu (1,657 mangsa).
Selain Terengganu, negeri-negeri lain yang turut mencatatkan angka mangsa yang tinggi termasuk Perak dengan 6,279 mangsa (46 PPS); Perlis: 6,159 mangsa (23 PPS); Selangor: 4,342 mangsa (31 PPS) dan Kedah: 3,302 mangsa (14 PPS).
NADMA turut memaklumkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan (Buruk) hari ini bagi kawasan-kawasan di Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, dan Johor.
Sehingga kini, jumlah kumulatif kematian akibat bencana banjir ini kekal sebanyak dua orang yang direkodkan di Kelantan (Tanah Merah dan Gua Musang).
Selain itu, beberapa empangan dilaporkan mencatatkan paras air 100 peratus atau lebih, termasuk Empangan Sembrong Barat dan Bekok di Johor, serta Empangan Timah Tasoh di Perlis, yang memerlukan pemantauan rapi.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan, memandangkan trend mangsa banjir masih menunjukkan peningkatan di beberapa negeri utama.- UTUSAN





