PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Tawau kekal 362 orang daripada 102 keluarga setakat pukul 8 pagi ini dengan semua daripadanya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan semua mangsa adalah penduduk dari empat kampung terjejas iaitu Kampung Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Darat, Tanjung Batu Otentik dan Kampung Kinabutan Tiku Batu 6.
“Tiada laporan kemalangan jiwa atau kejadian tidak diingini diterima setakat ini,” katanya hari ini
Sekretariat itu memaklumkan bahawa pemantauan oleh agensi penyelamat terus dilaksanakan di lapangan, bagi memantau keadaan semasa, dengan beberapa kawasan kampung terjejas menunjukkan trend penurunan paras air.
Hujan berterusan sejak Jumaat lepas mengakibatkan Tawau dan kawasan sekitarnya dilanda banjir sebelum bencana diisytihar pada pukul 8.30 pagi, Sabtu lalu. – UTUSAN






