KUALA LUMPUR: Generasi muda di negara ini dikesan menjadi kumpulan paling terdedah kepada jangkitan wabak HIV dan AIDS, menurut Majlis AIDS Malaysia (MAC).
Presiden MAC, Prof. Dr. Raja Iskandar Shah Raja Azwa berkata, 97 peratus daripada jangkitan baharu berpunca daripada transmisi seksual dengan 45 peratus daripadanya melibatkan belia berusia 20 hingga 29 tahun, manakala empat peratus remaja antara 13 hingga 19 tahun.
Beliau berkata, stigma sosial yang semakin menebal mengakibatkan usaha untuk menangani jangkitan dan penularan wabak itu sukar diatasi, disebalik pelbagai usaha dilakukan oleh banyak pihak termasuk MAC.
“Stigma dan salah tanggapan mengenai HIV masih mengekang keberkesanan tindak balas negara, malah menghalang ramai individu daripada tampil menjalani ujian dan mendapatkan rawatan awal.
“Respons HIV Malaysia berada pada titik genting. Selain kekangan pembiayaan global dan perubahan pola kerentanan, kita juga berdepan stigma sosial yang semakin menebal.
“Isu ini memberi kesan khususnya kepada anak muda yang kini menjadi kumpulan paling terdedah,” katanya pada Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2025 di Sunken Garden, MyTOWN di sini, hari ini.
Raja Iskandar berkata, usaha menamatkan jangkitan AIDS menjelang 2030 di negara ini hanya dapat dicapai melalui strategi berasaskan bukti, akses saksama dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua sektor.
“Peningkatan konservatisme sosial telah menyempitkan ruang dialog mengenai kesihatan seksual, pengurangan stigma dan hak asasi, sekali gus menyukarkan usaha mendekati komuniti berisiko tinggi.
“Setiap anak muda Malaysia berhak mendapat akses maklumat tepat dan perkhidmatan tanpa penghakiman. Tanpa persekitaran yang menyokong, stigma hanya akan terus menakut-nakutkan mereka daripada mendapatkan bantuan,” katanya.
Sambutan Hari AIDS Sedunia 2025 tahun ini diadakan serentak dengan Minggu Saringan Antarabangsa di bawah tema global `Mendepani Cabaran, Mentransformasi Tindakan’
dengan sasaran menamatkan penularan AIDS menjelang 2030.
Raja Iskandar berkata, pendekatan dua acara itu mengukuhkan usaha nasional memperluas ujian HIV, meningkatkan diagnosis awal dan memastikan akses rawatan serta pencegahan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.
“Malaysia kini berdepan tekanan global dan domestik, termasuk penyusutan pembiayaan antarabangsa yang memerlukan kepimpinan domestik lebih kukuh.
“Situasi ini menyerlahkan keperluan meningkatkan ujian HIV sebagai pintu masuk kepada rawatan serta menjadi indikator penting dalam menjamin masa hadapan tindak balas AIDS negara,” katanya. – UTUSAN




