PETALING JAYA: Malaysia bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara utama dalam merintis jalan damai antara Kemboja dan Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pencetus kestabilan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia komited membantu meredakan ketegangan di kawasan perbatasan kedua-dua negara itu, sejajar dengan semangat Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai hujung bulan lalu.
Penekanan peranan Malaysia itu disampaikan menerusi panggilan telefon bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
Menurut Anwar, Malaysia bertindak bukan sekadar sebagai Pengerusi ASEAN tetapi lebih penting sebagai negara jiran yang konsisten memikul tanggungjawab memastikan keamanan rantau terus terpelihara.
“Kita mahu melihat persahabatan dan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand terus diperkukuh. Malaysia bersedia membantu dari semasa ke semasa bagi memastikan segala usaha damai berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Anwar berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan menyatakan penghargaan terhadap komitmen Malaysia yang berterusan dalam menyokong proses damai serta usaha meredakan ketegangan di sempadan.
Anwar berkata, Malaysia akan terus membuka ruang rundingan, menjadi jambatan komunikasi dan memantau perkembangan bagi memastikan kestabilan jangka panjang dapat dicapai mengikut persefahaman yang dipersetujui.
“Saya berharap semoga Kemboja dan Thailand kekal menunjukkan kesungguhan serta keberanian politik untuk mengembalikan keamanan, demi kesejahteraan rakyat masing-masing dan kestabilan keseluruhan rantau,” katanya. – UTUSAN






