Mukadimah
CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Remystar Taylor, yang juga anak jati Penampang, menekankan bahawa keupayaannya berkhidmat untuk rakyat lebih penting berbanding latar belakang parti atau isu kenegerian semata-mata.
Fasih bertutur dalam bahasa Kadazan serta boleh berbahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris, beliau yakin pengalaman dan keakraban dengan masyarakat Moyog menjadi aset utama dalam memastikan isu-isu tempatan ditangani dengan segera.
Kepada wartawan Nexbyte, HAFIZ SAIDINA dan jurugambar AMIR KHALID, beliau menyatakan keyakinan akan kemenangan berpihak kepadanya walaupun bertembung 12 calon termasuk rakan sekutu, Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
UTUSAN: Benarkah pengundi kini memilih calon bukan parti?
REMYSTAR: Parti nasional dan tempatan bukan lagi isu utama bagi pengundi pada PRN kali ini. Apa yang lebih penting kepada rakyat ialah calon yang kerap turun padang dan bekerja sepanjang masa, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Sentimen yang membandingkan parti nasional dan nasional hanya dimainkan ketika kempen, sedangkan pada hari-hari biasa perkara itu langsung tidak timbul. Pada akhirnya, pengundi memilih calon benar dekat dengan mereka dan konsisten membantu masyarakat.
PKR kurang relevan di sini berbanding parti-parti tempatan?
PKR tetap relevan di Sabah sebab perjuangannya tidak pernah berubah. Fokus kita tetap sama iaitu hormat hak rakyat Sabah, pastikan autonomi, pembangunan seimbang dan keadilan sosial. Itu asas perjuangan kita dari dulu sampai sekarang.
Setiap kali pilihan raya, memang akan keluar macam-macam slogan. Tapi ramai yang guna slogan itu pun sebenarnya tidak turun bekerja. Apabila masuk musim pilihan raya, barulah mereka bawa slogan-slogan ini untuk tarik sentimen.
Kalau mereka cakap soal Sabah, saya lahir dan membesar di sini. Apabila ada masalah di kawasan sendiri, saya yang turun. Jadi, apa isu lokal atau tidak lokal itu sebenarnya?
Apakah yang lebih penting bagi pengundi pembangunan atau sentimen kenegerian?
Mana-mana parti yang mampu menyediakan pembangunan adalah lebih penting daripada parti yang hanya memainkan isu atau sentimen kenegerian. Jika seseorang calon benar-benar anak Sabah dan lahir, membesar, belajar, bekerja atau berniaga di sini. Mereka secara semula jadi akan membawa isu tempatan kawasan masing-masing apabila berkhidmat di DUN.
Sentimen kenegerian itu sudah memang wujud dalam diri setiap orang Sabah, jadi tidak perlu dijadikan slogan bermusim ketika pilihan raya. Apa yang rakyat perlukan ialah kerja dan pembangunan berterusan, supaya masyarakat boleh bergerak ke hadapan.
Bagaimana anda mahu menjadi suara generasi baharu di Moyog?
Generasi baharu mahukan pemimpin yang cakap serupa bikin, terbuka kepada kritikan dan berani memperjuangkan isu-isu rakyat tanpa takut kepada tekanan politik. Saya akan menjadi suara generasi baharu dengan membawa politik yang bersih dan berdisiplin, memastikan semua tindakan berpaksikan data, keperluan rakyat, dan integriti.
Apa yang akan dibuat sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat?
Saya akan menumpukan tenaga kepada program pendidikan, peluang ekonomi, latihan kemahiran, dan pembangunan belia supaya anak muda Moyog tidak ketinggalan.
Kawasan Moyog perlukan wakil yang berdisiplin, fokus, dan konsisten turun padang. – UTUSAN






