KOTA KINABALU: Walaupun Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua, namun timbul persoalan mengapa beliau boleh membentuk kerajaan sedangkan parti itu hanya meraih 29 kerusi iaitu kurang darioada majoriti mudah 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Sebaliknya Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, GRS bersama rakan parti serta calon Bebas yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
“Insya-Allah, GRS bersama rakan-rakan parti serta semua ADUN Bebas, yang sebelum ini berada dalam GRS sama ada sebagai ADUN atau pimpinan parti sebelum pembubaran, akan segera bergerak menunaikan amanah penduduk Sabah,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Difahamkan GRS yang mempunyai 29 kerusi bersama lima wakil Bebas dan tiga ADUN UPKO serta seorang wakil rakyat PH memberi sokongan kepada Hajiji menjadi Ketua Menteri.
Hajiji, 70, mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-17 di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, kira-kira 3 pagi tadi.
Pada PRN Sabah, GRS memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Parti Warisan (25), Barisan Nasional (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing meraih satu kerusi.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Sabah memperoleh 37 daripada 73 kerusi DUN. – UTUSAN






