PETALING JAYA: Seramai 1,822 mangsa banjir melibatkan 495 keluarga masih berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh negeri setakat pukul 5 petang tadi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 2,193 mangsa yang direkodkan pada sebelah pagi.
Sebanyak 11 PPS masih beroperasi di Perak, manakala tujuh di Perlis, diikuti Selangor (4), Pahang (3) dan Sarawak (2).
Selain itu, sebuah PPS direkodkan masih beroperasi masing-masing di Kelantan dan Sabah.
Keseluruhan mangsa banjir melibatkan 603 lelaki dan 566 perempuan, manakala 607 kanak-kanak, 47 bayi, 203 warga emas dan 38 orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga malam ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu diramal melanda seluruh Pulau Pinang, Kedah (Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Manjung).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) , Pahang (Lipis, Jerantut dan Maran), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Kuala Langat) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Turut terbabit Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau) dan Sabah: Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat. – UTUSAN






