KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melantik seorang tokoh dari negeri ini untuk menganggotai jemaah menteri susulan rombakan Kabinet tidak lama lagi.
Ketuanya, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, ia bagi memastikan Kelantan mempunyai suara di peringkat Pusat sekali gus menjamin kepentingan negeri dapat dibawa terus ke pengetahuan kerajaan.
“Sebelum ini Ahli Parlimen Setiawangsa yang merupakan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah ‘suara’ Kelantan di peringkat Pusat sebelum beliau meletak jawatan.
“Sejak itu, saya lihat tiada lagi ‘individu’ yang boleh menjadi ‘jurucakap’ Kelantan di peringkat Persekutuan,” katanya kepada Nexbyte, semalam.
Mohamad Ezzat berkata, walaupun tampuk pentadbiran negeri berbeza dengan Persekutuan, AMK Kelantan berpandangan perlu ada seorang wakil bertaraf menteri untuk menjadi penghubung supaya hubungan menjadi lebih akrab.
Katanya, langkah itu dapat mengubah ‘naratif’ yang mendakwa Kerajaan Persekutuan sering menganaktirikan Kelantan.
“Perkara ini tidak betul sebenarnya, anda boleh lihat sendiri Perdana Menteri memberikan keutamaan kepada Kelantan menerusi projek melibatkan kepentingan rakyat seperti Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, masalah air dan banyak lagi,” ujarnya.
Menurut Mohamad Ezzat, Kelantan mempunyai ramai tokoh berwibawa termasuk pemimpin muda yang mampu diangkat sebagai anggota jemaah menteri menerusi lantikan senator.
Pada 7 Disember lalu, Nexbyte melaporkan, rombakan Kabinet yang dilaksanakan nanti hanya melibatkan beberapa jawatan sahaja dengan beberapa nama telah disenarai pendek.
Anwar berkata, segala pandangan daripada pihak lain masih terbuka menegaskan bahawa beliau tidak tergesa-gesa membuat keputusan itu, walaupun ia merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN






