BAGAN DATUK: Kerajaan negeri akan melakukan kerja mengorek dan mendalamkan kawasan pintu air Tebuk Semani serta menambah bilangan pam air dalam usaha mengatasi banjir termenung di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, penambahan pam air itu untuk memastikan aliran keluar air dapat dipercepatkan.
“Kita juga mengenal pasti punca air bertakung yang berterusan disebabkan penggunaan culvert atau pembetung yang dibina di bawah jalan oleh pemilik tanah tanpa penyelarasan.
“Justeru, kita meminta Pejabat Tanah memastikan penggunaan culvert ini diselaraskan supaya semua pemilik tanah menggunakan kaedah yang sama dan tidak menghalang aliran air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan, masalah banjir termenung di daerah itu turut berpunca daripada aktiviti pengusaha ternakan udang haram yang menceroboh tanah kerajaan.
Katanya, setakat ini dianggarkan terdapat tiga pengusaha ladang ternakan udang haram dikenal pasti beroperasi di kawasan berkenaan dan kerajaan negeri bimbang jumlah itu akan bertambah jika tidak ditangani segera.
“Kita telah meminta Pejabat Tanah meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap pengusaha ternakan udang haram ini kerana mereka menjalankan aktiviti di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.
“Buat masa ini kita cuba menyelesaikan perkara ini secara diplomasi terlebih dahulu supaya mereka dapat menerima penyelesaian secara baik sebelum tindakan lebih tegas diambil,” katanya.
Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan penambahan bilangan pam air di daerah itu yang kini berjumlah 18 buah, bergantung kepada keperluan semasa.
“Kita akan terus memantau dan sekiranya perlu, bilangan pam air akan ditambah bagi mempercepatkan proses pengaliran keluar air,” katanya. – UTUSAN






