PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menghentikan serta-merta amalan merujuk kes-kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan berkata, rogol statutori terhadap kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang serius.
Katanya, ia harus disiasat serta didakwa oleh PDRM mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah dan tatacara jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan, dan siasatan rogol sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tanggungjawab teras dari segi perlembagaan dan statutori PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara.
“Sebarang rujukan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama adalah tidak selaras dengan mandat ini dan berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya hari ini.
Sebelum ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilapor berkata, langkah itu berkuat kuasa Oktober lalu susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meminta PDRM bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi menangani isu berkenaan.
Mohd. Yusoff turut memaklumkan sejak dua bulan lalu, pihaknya sudah merujuk lima remaja perempuan bawah umur terbabit kes rogol ‘suka sama suka’ untuk diambil tindakan oleh JAHEAIK.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Suhakam berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Ketua Polis Kelantan mengenai tindakan PDRM untuk merujuk kes rogol statutori yang membabitkan kanak-kanak kepada pihak berkuasa agama Islam.
Justeru, selaras dengan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Suhakam bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati kerajaan mengenai penyelarasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Mengulas lanjut, Suhakam berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangan utama dalam perkara itu adalah kepentingan terbaik, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang seharusnya kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual.
“Sejajar dengan CRC, Suhakam menekankan bahawa tindak balas terhadap kes yang melibatkan kanak-kanak mestilah mengutamakan perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial yang sesuai, bukannya pengenaan hukuman semata-mata.
“Kanak-kanak dalam sistem keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik,” katanya.
Katanya lagi, Suhakam menegaskan bahawa pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah adalah perlu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif, memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan menyokong pemulihan, selaras dengan prinsip perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. – UTUSAN






