PETALING JAYA: Dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan tentera tidak mencerminkan keseluruhan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Ibrahim dalam kenyataan berkata, majoriti anggota tentera berkhidmat dengan jujur serta menjunjung amanah diberikan.
Menurutnya, isu ini menyentuh teras integriti dan amanah yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong serta rakyat kepada pegawai kanan tentera.
“Siasatan mestilah dijalankan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan luar untuk memastikan kebenaran terungkap.
“Prinsip keadilan “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” dan proses perundangan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Angkatan Tentera 1972 mesti dihormati sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Nexbyte sebelum ini melaporkan SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengenai isu pengubahan wang haram melibatkan pegawai kanan ATM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat sebarang dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa sekiranya disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih.
Tambah Abdul Aziz, tindakan tegas boleh diambil melalui saluran pentadbiran bagi melindungi maruah organisasi ketenteraan.
Katanya, langkah pembetulan dan pengukuhan sistem perolehan perlu dilaksanakan segera bagi menutup ruang penyelewengan masa hadapan.
‘Siasatan ini perlu menjadi peringatan tegas kepada semua pegawai bahawa pangkat datang dengan tanggungjawab moral yang lebih besar, dan integriti adalah maruah yang tidak boleh dijual beli. Isu ini perlu dilihat secara objektif tanpa sebarang prejudis,” katanya. – UTUSAN





