GEORGE TOWN: Jambatan Andaman Gurney yang dibuka secara rasmi hari ini menjadi satu lagi mercu pembangunan di bahagian utara Pulau Pinang.
Ia juga sekali gus sebagai simbol langkah besar negeri itu menuju ke arah pembangunan yang lebih tersusun.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jambatan tersebut merupakan komponen penting dalam menjayakan pembangunan Andaman yang merupakan projek perbandaran mega.
“Ini mungkin kelihatan seperti jambatan sahaja, tetapi bagi Pulau Pinang ia mewakili sesuatu yang lebih besar.
“Ia adalah satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kesalinghubungan, perancangan yang baik dan masa depan yang sedang kita bina bersama,” katanya selepas merasmikan pembukaan jambatan tersebut, hari ini.
Jambatan Andaman Gurney sepanjang 1.2 kilometer (km) itu menjadi pintu masuk utama ke Pulau Andaman dan mengukuhkan jaringan mobiliti di persisiran utara Pulau Pinang.
Ia merupakan elemen ikonik terbaharu di Gurney Bay serta menampilkan laluan pejalan kaki selebar empat meter di kedua-dua sisi yang menyokong mobiliti bebas kereta dan aktiviti riadah tepi laut.
“Jambatan ini bukan dibina untuk menambah kesesakan sebaliknya mengurangkan tekanan trafik di koridor utara Pulau Pinang dengan menyediakan laluan alternatif bagi menghubungkan Gurney Drive ke komuniti baharu di Pulau Andaman,” kata Kon Yeow. – UTUSAN






