PETALING JAYA: Kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan di seluruh negara merekodkan peningkatan ketara sebanyak 146 peratus bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 14 Disember lalu iaitu 8,484 kes.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) merekodkan peningkatan 5,033 kes berbanding hanya 3,451 kes bagi tempoh sama pada 2024, iaitu peningkatan 5,033 kes.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kerugian kewangan yang direkodkan tahun ini adalah berjumlah RM202.58 juta berbanding RM118.83 juta tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan RM83.75 juta atau kira-kira 70 peratus.
Kata, statistik menunjukkan penipuan pekerjaan bukan sahaja semakin berleluasa, malah memberi kesan kewangan yang besar kepada mangsa.
“Sindiket penipuan lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera untuk menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran pendahuluan atau pemindahan wang ke akaun keldai (mule account),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, tiada mana-mana majikan akan meminta bayaran pendahuluan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.
“Bagi tindakan awal, orang ramai yang mengesyaki diri mereka terlibat atau menjadi mangsa sebarang bentuk penipuan, khususnya berkaitan tawaran pekerjaan sambilan, disarankan menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.
“Selain membuat laporan di balai polis berdekatan. Tindakan segera amat penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah pantas untuk mengesan, membekukan aliran kewangan yang terlibat serta menjalankan siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN





