PETALING JAYA: Seramai 16,080 mangsa banjir masih berlindung di 211 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM), Perak terus mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi apabila 5,284 mangsa daripada 1,591 keluarga direkodkan.
Antara daerah terjejas termasuk Larut, Matang, Selama, Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah dengan sebanyak 42 buah PPS dibuka sejak 23 November lalu.
“Lebih daripada 10 PPS aktif menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas seperti Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru menempatkan seramai 404 orang mangsa daripada 123 keluarga.
“Sembilan PPS lagi di Hilir Perak, Bagan Datuk dan Majung yang melebihi kapasiti 100 peratus penempatan kini menampung sejumlah 1,641 mangsa termasuk 274 kanak-kanak lelaki dan 261 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, negeri Selangor, Kelantan, Perlis, Pahang, Terengganu, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur turut merekodkan penempatan 11,218 mangsa di PPS mengikut daerah masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan beberapa sungai dan empangan mengalami peningkatan paras air melepasi tahap bahaya.
Sungai terbabit adalah Sungai Slim dan Sungai Bidor di Perak.
Notifikasi sama dikeluarkan bagi Empangan Timah Tasuh (Perlis), Pintu Air Ijok (Selangor), Sungai Paka (Terengganu) dan Sungai Golok (Kelantan).
Penduduk di kawasan berhampiran sungai dan laluan air dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa berikutan risiko aliran deras serta kemungkinan limpahan air susulan musim bencana. – UTUSAN




