PETALING JAYA: Seramai 13,804 mangsa banjir daripada 4,542 keluarga direkodkan di 108 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat pukul 3.15 petang tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Johor, Kelantan, Selangor dan Sarawak.
Pahang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 12,683 orang melibatkan 4,210 keluarga yang kini dipindahkan ke 81 PPS.
Antara daerah terjejas ialah Kuantan, Pekan, Maran, Rompin, Jerantut, Lipis dan Temerloh.
Terengganu pula merekodkan 626 mangsa dipindahkan ke 17 PPS di tiga daerah terlibat sementara Johor mencatatkan 356 orang daripada 93 keluarga di tiga PPS.
Sementara itu, Kelantan mencatatkan penurunan bilangan mangsa kepada 74 orang membabitkan 22 keluarga manakala Selangor masih merekodkan 47 mangsa di daerah Gombak yang ditempatkan di sebuah PPS.
Sarawak masih berada pada tahap sama dengan merekodkan satu daerah terjejas melibatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di dua PPS di Miri. – UTUSAN






