KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) giat memperkukuh pembelajaran pintar serta latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan graduan dan usahawan Bumiputera kekal kompetitif dalam ekonomi digital.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu penting memandangkan kira-kira 65 peratus pekerjaan sedia ada hari ini berisiko menjadi tidak relevan dalam tempoh 10 tahun akan datang susulan perkembangan pesat teknologi AI.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan aplikasi teknologi AI dalam dunia perniagaan agar mereka mampu bersaing dalam ekonomi digital.
“Graduan bukan hanya perlu menguasai teori dan kemahiran akademik tetapi juga memiliki literasi digital, pemikiran analitik, daya kreatif, serta ketahanan emosi,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-3 Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Menurut beliau, MARA terus komited memperkukuh kemudahan pembelajaran pintar di semua institusi pendidikannya bagi memastikan kesediaan graduan menghadapi keperluan masa hadapan.
“Dengan penggunaan AI membolehkan pembelajaran lebih personal dan adaptif, selaras dengan keupayaan, minat serta hala tuju kerjaya pelajar,” ujarnya.
Difahamkan, Majlis Konvokesyen kali ke-3 UPTM itu meraikan seramai 2,075 graduan yang berjaya menamatkan pengajian, dengan 120 daripadanya menerima anugerah berprestij. – UTUSAN






