MELAKA: Orang ramai berpeluang menikmati panorama Selat Melaka daripada sudut berbeza melalui pengalaman menaiki bot tentera dengan bayaran hanya RM10 sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 dan Sambutan Jubli Intan Ke-60 Rejimen Gerak Khas (GGK) di Encore Melaka bermula hari ini hingga 31 Disember.
Program julung kali diadakan di luar kem tentera itu memberi penekanan kepada pendekatan kemasyarakatan dan kekeluargaan, sekali gus membuka ruang kepada orang awam untuk mengenali lebih dekat peranan serta keupayaan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Penyelaras Sambutan Jubli Intan GGK Fasa 2 merangkap Pegawai Laksana Rejimen 22 Komando, Leftenan Kolonel Nor Hasnizar Nor Rashid berkata, penganjuran kali ini berbeza berbanding sambutan terdahulu yang bersifat rejimental.
“Sambutan fasa kedua ini diadakan di luar kem tentera dan memberi fokus kepada penglibatan masyarakat umum bagi mendekatkan pasukan Gerak Khas dengan rakyat.
“Pendekatan ini membolehkan orang awam melihat sendiri peranan, kesiapsiagaan serta keupayaan GGK dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nor Hasnizar berkata, antara tarikan utama sambutan ialah pameran pelbagai aset ketenteraan melibatkan elemen darat, laut dan udara yang jarang dipertontonkan kepada awam.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kepakaran pasukan 21 GGK yang mempamerkan profesionalisme serta kecekapan pasukan khas negara.
“Pengalaman menaiki bot tentera di perairan Selat Melaka dijangka menjadi tarikan utama khususnya kepada keluarga dan golongan muda,” katanya. – UTUSAN






