KUALA LUMPUR: Kelemahan sistematik dan pengurusan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) meningkatkan risiko terhadap dana awam.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelemahan itu merangkumi aspek perolehan, pelaksanaan projek, pengurusan hasil dan prestasi.
Keadaan itu menyebabkan syarikat milik kerajaan gagal memberikan pulangan terhadap dana awam yang dilaburkan.
Katanya, dapatan itu diperoleh melalui 157 prosiding dan 17 laporan yang dibentangkan oleh PAC sepanjang 2025.
“Kelemahan ini bukan sekadar isu pentadbiran. Ia memberi implikasi besar terhadap komitmen fiskal jangka panjang kerajaan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan menguruskan dana awam secara berhemah dan telus.
“Corak berulang ketidakpatuhan dan ketidakcekapan menimbulkan kebimbangan serius mengenai kebocoran kewangan, pembaziran serta beban yang sepatutnya tidak ditanggung rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Mas Ermieyati turut merujuk kepada projek Semarak20 oleh Felcra Bhd. sebagai contoh GLC yang menceburi bidang perniagaan di luar operasi terasnya.
“Berkaitan Menara Semarak, salah satu dapatan kami adalah syarikat terlibat dalam aktiviti perniagaan yang bukan sebahagian daripada operasi teras mereka.
“Saya tidak menolak kemungkinan ini merupakan antara faktor penyumbang, selain faktor-faktor lain yang dikenalpasti semasa prosiding,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kelemahan sistemik lain turut membimbangkan termasuk penggunaan sistem dan perkhidmatan awam tanpa kontrak formal, kelewatan pelaksanaan projek kritikal serta jumlah Akaun Belum Terima yang tinggi, sekali gus memberi kesan langsung terhadap kutipan hasil negara. – UTUSAN






