ALOR SETAR: Pas tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pengkhianatan, selaras dengan disiplin parti yang ketat bagi memastikan perjuangan kekal berteraskan keikhlasan dan istiqamah.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, setiap kemenangan yang diraih parti akan sentiasa disertai ujian besar yang berpotensi membawa kepada pengkhianatan sekiranya tidak diimbangi dengan keikhlasan hati.
Menurutnya, kebanyakan individu bermula dengan niat baik dan ikhlas tanpa apa-apa kepentingan, namun apabila melihat peluang yang datang bersama kemenangan, ada yang tergelincir dengan menjadikan kuasa dan jawatan sebagai jalan meraih harta serta kesenangan dunia.
“Ada orang melihat, dengan kemenangan mereka boleh bina harta dan kekayaan dan mendapat kesenangan dunia. Di sini bermulanya ujian yang sangat berat, sehingga membawa kepada pengkhianatan.
“Sebab itu dalam Pas, disiplin kita cukup ketat dan tidak ada tolak ansur terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli meluahkan pengkhianatan oleh tiga wakil rakyat Pas selain rakan-rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap sebagai sahabat untuk menumbangkan beliau sangat mengejutkan.
Menurut Ahmad, perjuangan Pas masih panjang dan setiap ahli perlu sentiasa kembali kepada istiqamah iaitu tetap teguh dan berterusan dalam perjuangan.
“Penting untuk kita beri peringatan, dalam perjuangan ada pasang ada surut, ada menang ada kalah, ada waktu mudah ada waktu susah. Dituntut kepada kita agar tetap istiqamah,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, jawatan bukan keutamaan kerana ia hanyalah satu bentuk penggiliran dan agihan tugas yang diamanahkan oleh parti.
“Ada waktu kita berjawatan, ada waktu tiada jawatan. Jadi pada waktu kita tiada jawatan, kita bekerja sebagai ahli. Pada waktu kita diberikan jawatan, tanggungjawab kita bekerja sebagai pemimpin.
“Ahli atau pemimpin, ketulusan hati perlu dijaga supaya Allah SWT terima kerja yang kita lakukan. Perkara paling menakutkan dalam perjuangan apabila Allah SWT tidak terima amal kita. Sebab itu niat, keikhlasan dan ketulusan hati mesti sentiasa dijaga,” katanya. – UTUSAN






