MELAKA: Projek pemasangan pam dengan anggaran kos RM1 juta berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Klebang Besar di sini akan mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda 15 kawasan penempatan di Melaka Tengah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kini di peringkat kajian sebelum mula dilaksanakan tahun depan.
Katanya, pemasangan pam berkapasiti tinggi dapat mengurangkan banjir kilat yang kerap melanda penduduk berhampiran lembangan Sungai Melaka dari Durian Tunggal hingga Klebang.
Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah Taman Angkasa Nuri, Taman Merdeka Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Malim Jaya, Kampung Morten dan Kampung Padang Siapong.
“Walaupun Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Klebang yang mempunyai enam pintu memainkan peranan besar mengelak daripada berlakunya banjir kilat, namun musibah itu tetap berlaku.
“Ini terjadi jika berlaku air pasang besar, paras air Sungai Malim akan naik dan boleh berlaku banjir di kawasan rendah terutamanya jika ia berlaku bersama-sama hujan lebat ketika pintu air terpaksa ditutup.
“Jika ada pam berkapasiti tinggi, air dari sungai dapat segera dialirkan keluar ke laut sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Klebang Besar, hari ini.
Ban Hong berkata, dua daripada enam pintu yang rosak sebelum ini telah dibaik pulih oleh JPS.
Ujarnya, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan rendah di Melaka Tengah akibat ribut tropika Senyar dari Selat Melaka pada 28 November lalu disertai hujan lebat dan pertembungan air pasang besar. – UTUSAN






