PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor mencapai kesepakatan untuk menggerakkan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey dengan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan pembangunan terminal tersebut pagi tadi menyifatkannya sebagai projek strategik penting untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan negara dalam sektor pelabuhan serta logistik.
“Projek berkenaan telah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan, justeru persetujuan bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor akan membolehkan pelaksanaannya dipercepatkan.
“Semua agensi berkaitan diarahkan untuk bergerak pantas dan memastikan projek ini menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaksanaan pembangunan itu akan mengambil kira kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem.
“Pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam sekitar kerana di situlah terletaknya makna kemajuan sebenar dan berkekalan,” katanya. – UTUSAN






