KUALA LUMPUR: Kejayaan syarikat automotif tempatan, Perodua menghasilkan kenderaan elektrik (EV) pertama dikenali sebagai QV-E membuktikan kemampuan negara mengangkat martabat negara dalam arena teknologi automatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu lahir daripada kepintaran, disiplin dan kegigihan jurutera, saintis serta tenaga mahir tempatan.
Katanya, walaupun menghadapi cabaran termasuk proses pemindahan teknologi yang tidak selalu lancar, kekuatan dalaman Perodua bersama sokongan pendidik dan penyelidik tempatan menjadi pemangkin kejayaan tersebut.
“QV-E bukan sekadar kenderaan. Ia simbol kemampuan Malaysia dalam membangunkan teknologi baharu dan menyediakan inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencipta inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu menunjukkan hala tuju dasar yang jelas, muafakat yang kukuh dan disiplin yang utuh menjadi asas kepada pencapaian yang suatu ketika dahulu dianggap sukar.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memberikan dukungan penuh dan membuka ruang lebih luas agar pengalaman dan kejayaan Perodua menjadi ilham kepada anak-anak muda untuk terus meneroka serta memacu teknologi baharu negara.
Katanya, kejayaan QV-E adalah bukti bahawa Malaysia bukan sahaja mampu membangunkan produk tempatan berteknologi tinggi, tetapi juga bersedia untuk bersaing di peringkat global. – UTUSAN






