HAT YAI, THAILAND: Rakyat Malaysia mula menjadikan Danok sebagai lokasi baharu pelancongan bagi menggantikan bandar ini yang terjejas teruk akibat banjir.
Pengurus Sanwa Tours, Patchrin Pdungpakdeewong berkata, hal ini kerana pelancong menyedari kawasan bandar ini masih belum pulih sepenuhnya.
“Selepas banjir baru-baru ini kebanyakan rakyat Malaysia tidak terus ke Hat Yai, sebaliknya hanya singgah di Pekan Danok sahaja sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Nexbyte di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Patchrin memberitahu, jumlah kemasukan rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas ekspress Kuala Lumpur ke bandar ini dalam tempoh sebulan ini merosot teruk susulan banjir besar.
Katanya, sebelum ini hampir 300,000 rakyat Malaysia akan menghabiskan beberapa hari cuti persekolahan Disember di bandar ini.
“Jumlah itu menurun hampir 90 peratus setelah Hat Yai berdepan banjir besar dan sehingga kini belum pulih sepenuhnya.
“Biasanya pada setiap hujung minggu kira-kira 10,000 rakyat Malaysia akan bercuti di Hat Yai. Tetapi setelah bandar ini ditenggelami banjir besar hujung bulan lalu, jumlahnya berkurangan.
“Dianggarkan sekarang ini hanya 1,000 rakyat Malaysia yang mengunjungi bandar ini ada hujung minggu,” ujarnya.-UTUSAN





