PETALING JAYA: UMNO Bahagian Puchong memutuskan menamatkan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong berkuat kuasa serta-merta susulan kenyataan yang disifatkan tidak beradab dan menghina oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, baru-baru ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Bee Yin gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam seperti yang ditetapkan walaupun telah diberi peluang berbuat demikian.
“Maka dengan ini UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Surat berkenaan turut dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Menurut Mohamad Yusof, keputusan itu melibatkan kerjasama di peringkat Parlimen Puchong serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Serdang dan Seri Kembangan.
Katanya, UMNO Bahagian Puchong tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras atau menganjurkan aktiviti politik dan kempen, selain tidak bekerjasama dalam sebarang strategi dan gerak kerja pilihan raya dengan PH Puchong.
UMNO Bahagian Puchong juga menolak sebarang bentuk persefahaman tidak rasmi dengan PH Puchong serta menegaskan parti itu bebas mengambil pendirian sendiri dalam semua isu setempat.
“UMNO Bahagian Puchong tidak bersetuju dan menolak sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong.
“Kami berpandangan maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu telah dicabar serta tidak dihormati,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Yusof berkata, keputusan tersebut tidak bermaksud UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat nasional atau negeri.
“Ia merupakan pendirian politik setempat selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat Pusat,” katanya.
Susulan keputusan itu, UMNO Bahagian Puchong akan bergerak secara solo di peringkat Parlimen Puchong dan dua DUN berkenaan.
Selain itu, sokongan kepada calon PH Puchong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan menjadi bersyarat atau tidak diberikan langsung sebagai tanda ketegasan parti mempertahankan maruah dan prinsipnya.
Sebelum ini, Bee Yin memuat naik hantaran berkata ‘Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini’ susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah kerana tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan ia dilaksanakan. – UTUSAN






