PETALING JAYA: UMNO Sabah akan memastikan suara rakyat kekal menjadi asas kepada setiap keputusan dan hala tuju politik di samping terus memberi sumbangan secara aktif serta berprinsip dalam kerajaan perpaduan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, perbezaan pandangan politik perlu diurus secara berhemah dan berinstitusi tanpa menjejaskan keutamaan utama iaitu tadbir urus baik, pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat.
“Dalam sistem politik berbilang parti seperti Sabah, kestabilan hanya dapat dicapai melalui sikap saling menghormati, komunikasi terbuka dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan negeri.
“UMNO Sabah komited untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab dan konstruktif dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam Facebook beliau selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu, Sabah.
Pertemuan itu merupakan kali pertama selepas pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) yang mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan GRS ekoran tiada parti meraih majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 30 November lalu.
Mengulas lanjut, Jafry berkata, pertemuan itu merupakan kunjungan hormat rasmi pertama kepimpinan baharu UMNO Sabah kepada Ketua Menteri selaras dengan kedudukan parti sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan negeri Sabah.
Katanya, perbincangan tertumpu kepada hala tuju politik Sabah dan kepentingan mengekalkan kestabilan politik serta keperluan memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
“Di sini saya juga ingin menegaskan bahawa UMNO Sabah melihat kestabilan politik sebagai asas utama kepada pembangunan negeri, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat.
“Oleh itu, pendekatan politik yang matang, berdisiplin dan berlandaskan kerjasama perlu menjadi keutamaan dalam landskap politik Sabah ketika ini,” katanya. – UTUSAN






