PETALING JAYA: Seramai 72 orang lelaki ditahan selepas mereka terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam dan bola golek yang berselindung di sebalik kebun haram berhampiranPangsapuri Bayu Perdana, Klang, Selangor semalam.
Serbuan bermula sekitar pukul 5.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dalam operasi khas dikenali sebagai Op Cakar.
Mereka yang ditahan yang terdiri daripada 41 warganegara dan 31 bukan warganegara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua mereka ditahan berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti perjudian berkenaan
Katanya, daripada jumlah ditahan, dua individu yang bertindak sebagai penganjur manakala 70 lagi merupakan pemain.
“Dalam operasi sama, wang tunai berjumlah RM55,075 serta pelbagai peralatan perjudian turut dirampas.
“Pemeriksaan bersama pihak veterinar turut menemukan 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam mati yang dipercayai akibat aktiviti sabung ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah beroperasi kira-kira enam bulan dengan menjadikan kawasan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan sabung ayam yang diadakan setiap hari Ahad.
Jelasnya, nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan dilaporkan mencecah sehingga RM10,000.
“Kesemua individu yang ditahan kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – UTUSAN






