KUALA LUMPUR: Penggunaan khidmat coach cerai tidak seharusnya menjadi amalan atau normalisasi dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana berisiko mendorong pasangan ke arah perceraian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, mana-mana individu yang terlibat dalam amalan berkenaan boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, bagi isu melibatkan coach cerai, perlakuan mana-mana individu yang melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Isu coach cerai memberi pengajaran bahawa pemberian nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman serta bimbingan yang tepat.
“Nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian tegas kerajaan terhadap trend ‘coach cerai’ di media sosial serta sama ada tindakan mereka boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah iaitu takhbib kerana menggugat institusi kekeluargaan.
Menurut Zulkifli, masyarakat perlu sedar Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan yang adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik.
“Oleh itu, mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah, jabatan agama Islam negeri atau mahkamah syariah bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmah, berpandukan syariat serta memberi manfaat jangka panjang.
“Kesedaran itu penting bagi membina masyarakat yang bijak menilai nasihat, memelihara institusi keluarga dan mengelakkan kerosakan yang boleh dielakkan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil maklum penggunaan istilah ‘coach cerai’ yang tular susulan penggunaan gelaran tersebut dalam kes perceraian melibatkan artis dan selebriti baru-baru ini.
Katanya, perkembangan itu menyentuh urusan serta pentadbiran hal ehwal Islam khususnya berkaitan perkahwinan orang Islam yang sewajarnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti yang sah mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak.
“Kerajaan juga menegaskan penggunaan khidmat yang dipromosikan sebagai ‘coach cerai’ tidak seharusnya menjadi amalan dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana berisiko mendorong pasangan ke arah perceraian.
“Masyarakat Islam seharusnya merujuk kepada institusi berautoriti seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi sebarang permasalahan berkaitan isu rumah tangga,” katanya.
Tambah beliau, dalam Islam, takhbib iaitu perbuatan hasutan atau fitnah yang bertujuan memisahkan suami isteri atau meruntuhkan institusi perkahwinan dianggap dosa besar dan sangat dikecam kerana mengkhianati ikatan suci perkahwinan.
Katanya, perbuatan itu melibatkan campur tangan pihak ketiga yang berniat jahat melalui kata-kata, perbuatan atau fitnah bagi menimbulkan ketidakpercayaan serta pertengkaran dalam rumah tangga. – UTUSAN






