PETALING JAYA: Seramai 11 ahli baharu dilantik hari ini bagi menggantikan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen sedia ada susulan rombakan Kabinet dan peletakan seorang ahli jawatankuasa.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dr. Zaliha (PH–Sekijang) akan menggantikan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Datuk Seri Hasni Mohammad (BN–Simpang Renggam) dipilih sebagai ahli JKPK Kewangan dan Ekonomi menggantikan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.
Selain itu, Tan Kar Hing (PH–Gopeng) dipilih sebagai ahli JKPK Parlimen Kesihatan menggantikan Tze Tzin yang sebelum ini adalah naib pengerusi jawatankuasa berkenaan, manakala Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) menggantikan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Jimmy Puah (PH–Tebrau) pula dilantik sebagai ahli JKPK Parlimen Keselamatan untuk menggantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar yang sebelum ini naib pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Bagi JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat pula, Datuk Seri Sh Mohmed Sh Ali (BN-Pekan) dilantik menggantikan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang meletak jawatan. Jawatankuasa itu turut menyaksikan pelantikan Tan Hong Pin (PH-DAP) bagi menggantikan Mordi Bimol (PH-DAP).
JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa pula menyaksikan pelantikan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-PKR) menggantikan R Yuneswaran (PH-PKR).
Sementara itu, tempat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) dalam Jawatankuasa Dewan digantikan oleh Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) manakala Datuk Jonathan Yassin (GRS–Ranau) bagi JKPK Kewangan dan Ekonomi.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih bilangan pertama 2026 itu diadakan pada 22 Januari lalu yang dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dengan dihadiri Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin. – UTUSAN






