KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang baharu.
Pelantikan itu dibuat dengan pengesahan dan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor ketika sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Yang Berhormat Sekijang, anda dilantik sebagai Pengerusi BBC. Tahniah kerana saya baru mendapat pemakluman,” katanya.
Dr. Zaliha sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan) sebelum digugurkan pada rombakan kabinet Disember tahun lalu.
Beliau digantikan oleh Hannah Yeoh, yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
BBC atau Backbenchers Club merujuk kepada kumpulan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak memegang jawatan dalam Kabinet dan berperanan sebagai platform penyelarasan pandangan serta isu melibatkan Ahli Parlimen kerajaan. – UTUSAN






