KOTA TINGGI: Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di sini semakin membimbangkan apabila keluasan kawasan terjejas meningkat kepada kira-kira 12 hektar berbanding 5.3 hektar, semalam.
Situasi didorong cuaca panas kering serta tiupan angin yang berterusan, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman dan menyebabkan kebakaran terus merebak ke beberapa kawasan baharu.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Muhamad Sabri Ramli berkata, setakat ini kira-kira 20 peratus atau dua hektar kawasan berjaya dipadamkan hasil operasi berterusan anggota bomba sejak kebakaran dikesan.
Menurutnya, kerja pemadaman di sektor B giat dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki, satu breaching serta dua pancutan nozel pam jentera dengan bekalan air daripada pili bomba berhampiran.
“Bagaimanapun, usaha pemadaman di sektor A tidak dapat dilakukan kerana sumber air yang jauh selain keadaan parit yang cetek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keadaan angin yang bertiup tanpa henti turut menyebabkan nyalaan api baharu dikesan, sekali gus memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan kebakaran terus merebak.
Sementara itu, seramai 52 penduduk membabitkan 17 keluarga dari kawasan berhampiran dipindahkan ke Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai.
Pihak bomba dengan kerjasama agensi berkaitan terus mempergiatkan operasi pemadaman dan kawalan kebakaran bagi memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya serta tidak mengancam kawasan perumahan.
Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran kawasan kebakaran sehingga keadaan kembali selamat. – UTUSAN






