PETALING JAYA: Kerajaan mempergiat usaha menarik semula bakat tempatan yang berhijrah ke luar negara dengan memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan penggajian kompetitif.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tumpuan utama ketika ini adalah membina industri bernilai tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti ekonomi negara sekali gus menawarkan gaji yang lebih menarik kepada bakat tempatan.
Katanya, perbandingan gaji antara Malaysia dan Singapura juga disifatkan tidak adil sekiranya dibuat secara terasing tanpa mengambil kira perbezaan struktur ekonomi dan kos sara hidup.
“Ini bukan isu gaji minimum, ini berkaitan highly skilled job (kemahiran tinggi), highly trained job (latihan khusus). Kos hidup mereka pun lebih tinggi daripada kita jadi memang gaji mereka akan lebih tinggi.
“Tetapi memang kami ambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan untuk melatih dan membawa bakat balik ke Malaysia,” katanya selepas menghadiri Sesi Taklimat Korporat sempena lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), di sini.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, fokus diletakkan kepada pendekatan ‘brain circulation’ yang menggalakkan mobiliti bakat secara dua hala.
Katanya, inisiatif tersebut diperkukuh menerusi penambahbaikan urusan perniagaan (ease of doing business) bagi menarik pelaburan asing dan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi.
“Bakat kita di luar sana akan kembali ke Malaysia apabila ada peluang. Kami tidak memaksa semua orang untuk kembali dan kami tidak melihat penghijrahan itu sebagai satu masalah.
“Jadi visi yang paling penting sekarang adalah membina industri yang berharga tinggi supaya boleh meningkatkan produktiviti ekonomi negara dan menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi supaya bakat-bakat di luar sana dapat peluang untuk pulang,” katanya. – UTUSAN






