KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan khas KTM Komuter secara intensif selama 24 jam bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026 sempena sambutan Thaipusam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan khas itu akan beroperasi selama empat hari tiga malam dengan keseluruhan 609 perjalanan tren, meningkat berbanding 494 perjalanan yang direkodkan pada tahun lalu.
Menurut beliau, sebanyak 216 perjalanan tren tambahan disediakan khusus ke Batu Caves dengan kekerapan lebih tinggi, melibatkan laluan utama Pulau Sebang–Batu Caves serta Pelabuhan Klang–Tanjung Malim.
“Perkhidmatan khas ini bermula seawal pukul 5.32 pagi pada 30 Januari dan berakhir pukul 12 tengah malam, 2 Februari, mengikut laluan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar Perkhidmatan KTM Komuter Sempena Thaipusam 2026, di sini, hari ini.
Sebagai inisiatif tambahan, penumpang perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang turut menikmati tambang percuma selama dua hari bermula 31 Januari hingga 1 Februari.
Anthony Loke berkata, bagi tempoh dua hari ini, kos yang ditanggung kerajaan hampir RM1 juta dan inisiatif itu diharap dapat memudahkan pergerakan penumpang, khususnya mereka yang menuju ke Batu Caves.
“Dari sudut praktikal, dengan jumlah penumpang yang ramai dan kebanyakannya bukan pengguna harian, proses pembelian tiket di kaunter boleh menyebabkan kesesakan. Sekiranya tambang dikenakan, keadaan itu dijangka menjadi lebih teruk,” katanya.
KTMB turut mengunjurkan 535,000 penumpang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sepanjang tempoh perayaan, dengan kapasiti maksimum mencecah 700,000 penumpang.
“Operasi ini melibatkan 22 set tren (SCS) serta empat set tren sedia siaga bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan keselamatan pengguna,” katanya. – UTUSAN






