PETALING JAYA: Pertelingkahan dengan nenek dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul anak saudaranya menggunakan rotan dan membaling kerusi dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 1.21 petang, 17 Januari lalu daripada seorang warga tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Petaling Jaya dan suspek adalah bapa saudara kepada mangsa.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia antara lapan hingga 11 tahun bertindak melawan ibu kepada suspek (nenek mangsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 35 saat yang memaparkan kanak-kanak terbabit dipukul menggunakan rotan serta dibaling dengan kerusi.
Beliau berkata, susulan maklumat diperoleh, polis menahan suspek dan merampas beberapa barangan berkaitan untuk membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kes berkenaan di media sosial.
“Saksi yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Irfan Emir Mohd Alwi di talian 016-5379507,” katanya.– UTUSAN





