PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Menteri Besar Perlis supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mentadbir negeri dan tidak mencampuri urusan parti lain.
Beliau berkata, tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas terhenti keahlian kerana melanggar disiplin parti seperti yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Pas.
“Menteri Besar Perlis yang baharu ini cukup sekadar menjaga negeri dengan baik. Tidak perlu campur tangan urusan parti lain.
“Tiga bekas ADUN Pas itu terhenti keahlian kerana melanggar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan parti dan Pas tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini.
“Menteri Besar cukup jaga negeri dan pastikan tidak menjadi Menteri Besar Perlis yang paling singkat dalam sejarah, itu sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika Pas ingin berpolitik, enam ADUN Pas boleh mengisytiharkan ‘perang’ seperti yang pernah dilakukan Menteri Besar Perlis sendiri pada November 2023 apabila mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kepimpinan Menteri Besar Perlis kerana tidak dilantik sebagai exco.
“Tapi itulah, ADUN Pas ini bukan macam Menteri Besar dan parti kami juga bukan seperti parti Menteri Besar. Rakyat lebih utama,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mencadangkan agar tiga bekas wakil rakyat Pas yang tergugur keahlian diterima semula sebagai ADUN meskipun berstatus Bebas.
Beliau berkata, mereka masih mempunyai mandat dan hak sebagai wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
Justeru katanya, pendekatan ‘menang-menang’ antara tiga ADUN berkenaan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan dilihat boleh membantu dalam menyelesaikan kemelut tersebut.
Katanya, ia termasuk cadangan agar Pas Pusat mengambil peranan mengharmonikan antara kedua-dua pihak demi memastikan situasi politik negeri kembali stabil. – UTUSAN






