GOMBAK: Seramai 1,520 orang anggota polis ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan Thaipusam di Kuil Batu Caves, 1 Februari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah berkenaan merangkumi 166 pegawai kanan dan 1,354 pegawai rendah polis, dengan seramai 1,376 petugas dari Kontinjen Selangor manakala 144 petugas lagi merupakan bantuan daripada kontinjen dan formasi lain.
“Sebanyak tujuh jalan utama juga akan ditutup bermula tengah malam ini secara berperingkat dan kesemua anggota tersebut akan mula bertugas pada pukul 12:01 tengah malam ini sehingga 3 Februari iaitu pada hari Selasa hadapan pada pukul 12:00 tengah malam.
“Tujuh jalan utama terlibat adalah kawasan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves serta Jalan Perusahaan menuju ke Kuil Batu Caves.
“Selain itu, penutupan turut melibatkan susur MRR2 dari Sri Gombak ke susur Perusahaan, simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8 dan Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat SBC di hadapan stesen minyak Shell, serta jalan susur Batu Caves pintasan menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves,” katanya pada sidang akhbar Op Palu sempena Thaipusam di Kuil Batu Caves di sini, hari ini.
Tambah Shazeli, bagi pengguna jalan raya yang tidak mempunyai urusan di kawasan sambutan, polis menyarankan penggunaan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
Katanya, pengguna boleh menggunakan laluan melibatkan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Kuching, Jalan Gombak dan Jalan Sungai Tua, dengan setiap laluan akan dikemas kini melalui Facebook Polis Daerah Gombak.
“Turut diingatkan bahawa kawasan Kuil Batu Caves merupakan kawasan larangan bagi pengoperasian dron, dan mana-mana pihak yang berhasrat mengendalikannya perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Kegagalan mematuhi peraturan tersebut boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN





