KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tidak menjalankan kewajipannya untuk menangkap seorang suspek pada Februari 2025.
Mengikut pertuduhan, Inspektor Azlan Sudin, 46, iaitu anggota polis yang berkewajipan di sisi undang-undang didakwa dengan sengaja tidak menangkap seorang individu berusia 36 tahun yang terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 di antara pukul 6.50 dan 7 petang, 21 Februari 2025 lobi Balai Polis Bukit Jalil, dekat sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 221 (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, Anasuha Atiqah Mat Saidi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang sama seperti sebelum ini.
“Semalam sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan bagi kes ini, namun anak guam telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah kerana pihak pendakwaan memaklumkan tiada saksi yang hadir untuk memberi keterangan, sedangkan tarikh perbicaraan telah ditetapkan sejak November tahun lepas.
“Memandangkan terdapat kepentingan segera untuk anak guam dituduh semula pada hari ini, pihak kami menganggap saksi-saksi boleh hadir dan mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan singkat,” katanya yang dibantu peguam, Maisarah Nurkefli.
Anasuha berkata anak guamnya telah digantung tugas sejak Julai tahun lalu dan sebarang kelewatan untuk memuakan perbicaraan adalah sesuatu yang tidak munasabah.
“Tertuduh telah berkhidmat dalam pasukan polis selama 25 tahun dan beliau juga menanggung seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah,” kata Anasuha.
Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN





