SEREMBAN: Seorang ibu membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya ditampar oleh seorang pengasuh di sebuah taska di Seremban 2, tahun lalu.
Noor Azlin Mohamad, 30, berkata, dia mengetahui insiden berkenaan dua hari lalu selepas isu membabitkan taska berkenaan tular di media sosial sebelum dia dihubungi oleh seorang bekas kakitangan taska tersebut.
Katanya, bekas kakitangan itu turut menghantar beberapa maklumat termasuk gambar keadaan anaknya selepas ditampar serta mendedahkan wujudnya perbincangan dalam kalangan pengasuh bagi menutup kejadian tersebut.
“Puncanya, anak saya ketika kejadian berusia tiga tahun terjatuh di atas seorang bayi semasa sedang bermain. Kemudian, seorang pengasuh datang lalu menampar anak saya sehingga meninggalkan kesan di pipi.
“Kalau ikutkan prosedur, kanak-kanak dan bayi sepatutnya perlu diasingkan serta tidak dibenarkan ditempatkan dalam ruang yang sama,” katanya kepada ketika ditemui di Seremban 2 di sini hari ini.
Semalam, isu itu tular di media sosial selepas dia memuat naik gambar anaknya yang didakwa ditampar oleh seorang pengasuh di sebuah taska di Seremban 2 tahun lalu tanpa pengetahuannya.
“Ketika saya mengambil anak saya, hanya ada kesan kemerahan di telinga. Apabila saya bertanya anak, dia hanya memberitahu terjatuh dan sakit sahaja,” kata Noor Azlin lagi.
Tambahnya, anaknya kelihatan ceria seperti biasa setiap kali pergi dan pulang dari taska, menyebabkan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 semalam dan anaknya akan dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut dan keterangan empat orang saksi telah diambil. – UTUSAN






