PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 12 anggotanya yang disyaki terlibat dalam kejadian samun melibatkan kes kerugian mata wang kripto telah ditahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mata wang kripto terbabit merupakan milik seorang warga asing dan kejadian berlaku di daerah Kajang pada awal bulan ini.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan diterima pada 6 Februari lalu kira-kira pukul 2.07 petang.
“Tindakan segera digerakkan sejurus laporan diterima bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shazeli, siasatan masih dijalankan dan pihak polis memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota terlibat jenayah.
Katanya, orang ramai diminta untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
“Selain itu, orang ramai disarankan untuk tidak melakukan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses perundangan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun. – UTUSAN






