SHAH ALAM: Lelaki warga negara ini yang ditahan Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India akibat cuba menyeludup dadah disyaki memperoleh bekalan ganja hidroponik dari Bangkok, Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan siasatan, pihaknya mendapatkan maklumat terperinci mengenai individu berkenaan termasuk jadual masa penerbangannya.
“Dia (suspek) bawa dadah itu daripada Bangkok. Kita (juga) akan pantau jika terdapat penglibatan sindiket di Malaysia atau keldai dadah yang direkrut di Thailand atau negara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 54 tahun ditahan pihak berkuasa luar negara kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di India.
Lelaki berasal dari Perak itu ditahan pihak berkuasa negara berkenaan selepas dipercayai membawa sebanyak 4.033 kilogram (kg) ganja hidroponik gred tinggi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai pada 8 Ogos lalu.
Hussein memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada Narcotics Control Bureau (NCB) India berhubung penahanan lelaki terbabit bersama dadah yang ditemukan disembunyikan di dalam bagasinya.
Sementara itu, beliau memaklumkan siasatan lanjut masih lagi dijalankan, namun pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau di negara ini.
Pada 8 Ogos lalu, suspek menaiki penerbangan Thai Airways TG 337 dari Bangkok ke Chennai. Bagaimanapun, pemeriksaan teliti pihak Kastam Chennai ke atas bagasi suspek menemui sejumlah dadah jenis ganja hidroponik seberat empat kilogram yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan.
Suspek kini ditahan reman oleh pihak Kastam India untuk siasatan lanjut di bawah perundangan tempatan dan akan disiasat di bawah Narcotics Drugs and Psychotropic Substances (NDPS) Act 1985 sementara menunggu perbicaraan kes.
Di bawah NDPS Act 1985 yang dikuatkuasakan di India, kesalahan menyeludup atau memiliki dadah dalam jumlah komersial memperuntukkan hukuman penjara mandatori antara 10 hingga 20 tahun serta denda yang tinggi sekiranya disabitkan kesalahan. – UTUSAN






