KUALA LUMPUR: Peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) mencukupi untuk memerangi rasuah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan penambahbaikan daripada semua pihak pada masa hadapan.
Katanya, berdasarkan input yang diterima daripada SPRM, peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 36 Akta SPRM mencukupi untuk menghendaki mana-mana individu memberikan maklumat kepada SPRM.
“Ia melibatkan harta yang dimiliki individu berkenaan atau yang terhadapnya dia mempunyai apa-apa kepentingan, sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti.
“Ia termasuk menyatakan tarikh setiap harta yang dikenal pasti itu diperoleh serta cara harta tersebut diperoleh,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai bila kerajaan akan meminda Akta SPRM bagi memerangi rasuah dengan lebih berkesan. – UTUSAN






