PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki wajar meletak jawatan jika kerajaan masih berdiam diri tanpa memberi sebarang penjelasan dalam isu melibatkan pemilikan saham syarikat.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkhidmatan Azam juga perlu ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM dan integriti institusi negara sekiranya dakwaan terhadap beliau masih belum dijelaskan kerajaan.
Katanya, Azam perlu mengambil tanggungjawab tersebut dan tidak seharusnya membayangi keraguan berterusan agensi berkenaan kerana ia boleh memberi kesan langsung terhadap kredibiliti setiap siasatan rasuah yang dijalankan.
“Isu ini sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi besar dan kini dibangkitkan semula di peringkat antarabangsa.
“Kegagalan memberikan penjelasan yang jelas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat serta persepsi dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan sebuah portal berita, Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.
Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, nilai pegangan dianggarkan sekitar RM800,000.
Menurut Ahmad Fadhli, laporan pendedahan itu juga membangkitkan kemungkinan bahawa beliau tidak mematuhi keperluan pengisytiharan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun.
“Ia menjadi satu kewajipan yang menjadi asas kepada ketelusan dalam perkhidmatan awam dan yang sebelum ini turut menjadi asas siasatan SPRM terhadap pegawai lain,” katanya. – UTUSAN






