MELAKA: Sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar merupakan empat barangan tambahan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina berkuatkuasa dari 13 hingga 21 Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, empat barangan itu hanya dikuatkuasakan di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
“Secara keseluruhannya kementerian telah mengenal pasti 16 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini. Jumlah barangan yang dikawal ini adalah berbeza mengikut negeri iaitu 16 barangan hanya di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung dan Sabah serta 14 barangan lagi di Labuan.
“Tempoh pelaksanaan ialah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan empat hari lagi selepas sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Pandan Mawar di sini, hari ini.
Armizan berkata, antara 16 barangan dikawal ialah ikan bawal putih (berat antara 200 hingga 400 gram seekor), udang putih (berat antara 41 hingga 60 ekor sekilogram), bawang putih (China), kobis bulat (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), lobak merah, ubi kentang dan halia tua.
Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan di peringkat pemborong dan peruncit melalui laman web www.kpdn.gov.my.
“Pegawai penguatkuasa akan digerakkan di seluruh negara ke lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli belah bagi memastikan kepatuhan peniaga,” ujarnya. – UTUSAN






